c Ann anak Banjar

Wednesday, August 28, 2013

I CARE ABOUT "MERDEKA"







MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA!

Hanya lebih kurang 2 hari sahaja lagi, satu fasa kemerdekaan mencapai usia wajibnya untuk dihitumg dan diperingati oleh rakyat Malaysia ,macam saya, macam kita, macam kamu semua!

Wah, andai Aidilfitri itu hari syukurnya kita, biarlah merdeka ini mejadi hari teruja kita kerana tanpa hari merdeka, tiadalah rakyat Malaysia..hahahaha....

Jom kita tambah sedikit, mengimbas semula apa yang beertinya Merdeka kepada Malaysia!


Setelah 56 tahun mengecapi kemerdekaan, Malaysia membangun dengan penuh bergaya. Pembangunan yang dicapai begitu pantas dan dinamik. Kekukuhan ekonomi dan perpaduan kaum menjadi kunci kepada keutuhan kemerdakaan yang telah dilalui. Rakyat menikmati agihan kestabilan politik, kemewahan ekonomi dan keadilan sosial yang sama dan seimbang. Pendidikan terus memacu rakyat untuk menjadi bangsa yang moden, beradab dan dihormati. Malaysia harum di pentas dunia sebagai sebuah negara membangun yang maju dan stabil.

Beberapa mercu tanda seperti projek pengeluaran kereta nasional pertama Proton Saga yang merintis industri permotoran negara, pembinaan Menara Berkembar Kuala Lumpur yang pernah diiktiraf sebagai di Menara Tertinggi Di Dunia, pembinaan Litar Antarabangsa Sepang yang berjaya menaikkan imej negara khususnya dalam penganjuran sukan lumba kereta Formula One selain mengangkat nama Petronas dalam melahirkan tenaga mahir dalam bidang permotoran dan pelbagai lagi mercu tanda dan kejayaan yang dicapai menjadi produk kebanggaan rakyat Malaysia.

Persediaan menghadapi badai langit terbuka telah dilakukan dengan penubuhan Koridor Raya MultiMedia (Multimedia Super Corridor) agar setanding dengan Lembah Silikon di Amerika Syarikat. Pencapaian rakyat Malaysia juga tidak kurang hebatnya apabila sekumpulan pendaki berjaya menawan puncak Everest pada 15 Mei 1997, berenang merentasi selat Inggeris pada 3 Ogos 2003, ekspedisi penerjunan di kutub utara pada 2003 dan ekspedisi solo menawan benua Anrtartika pada 2004. Pada 10 Oktober 2007, angkasawan Malaysia yang pertama telah dihantar ke Stesyen Angkasa Antarabangsa (ISS).


Suara Malaysia didengar di persada antarabangsa apabila suatu ketika, Malaysia mempelopori usaha menentang Dasar Apartheid di Afrika Selatan. Keamanan yang dicapai oleh negara dipohon oleh PBB untuk membawa misi tersebut di negara-negara seperti Congo (1960-1963), Somalia (1993-1994), Bosnia (1993-1998), Kampuchea (1991-1994), Angola (1991) dan Timor Leste (2006). Segala pencapaian cemerlang negara adalah cetusan pemimpin dan aspirasi rakyat yang digembeling bersama untuk menjadi Malaysia benar-benar cemerlang, gemilang dan terbilang.

Kini segala usaha yang digarap oleh seluruh lapisan rakyat menjadi hadiah yang amat berharga untuk sambutan 56 Tahun Kemerdekaan Malaysia. Menghadapi alaf baru yang penuh cabaran, rakyat Malaysia seharusnya lebih berwaspada. Biarpun suatu ketika dahulu, rakyat digembar-gemburkan dengan penjajahan bentuk baru melalui pengaruh pemikiran, ekonomi, sosial, adat dan budaya, ternyata, kini, penjajahan ke atas negara lemah dan mundur yang suatu ketika dahulu telah lama ditinggalkan oleh manusia bertamadun, kini kembali semula dalam bentuk dan alasan baru.

Kita juga dikepung oleh ledakan teknologi komunikasi maklumat dan era globalisasi yang menuntut lebih pengorbanan dan tanggungjawab daripada rakyat untuk terus mempertahankan kemerdekaan sedia ada. Dunia tanpa sempadan yang diperkenalkan kepada seluruh rakyat menuntut kita supaya lebih peka dengan persekitaran yang berlaku. Justeru, konsep Islam Hadhari yang diperkenalkan akan menjadi wadah untuk rakyat membangunkan negara dengan penuh keimanan kepada tuhan, berilmu, kehidupan yang harmoni, agihan kekayaan yang adil, bertamadun dan beretika.

Ketika arus kesedaran mengenai kemerdekaan kuat bergelora, Inggeris bimbang sekiranya orang Melayu mengalihkan sokongan mereka kepada parti berhaluan kiri seperti Partai Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Kesatuan Melayu Muda (KMM), Angkatan Pemuda Insaf (API), Angkatan Wanita Sedar (AWAS) dan Parti Komunis Malaya (PKM). Oleh itu, apabila Parti Perikatan, UMNO dan MCA begitu kuat mendesak mengadakan pilihanraya, Inggeris akhirnya tunduk menunaikan tuntutan dan tekanan mereka.

Pilihanraya Persekutuan pertama pada 27 Julai 1955 telah diadakan. Beberapa parti seperti UMNO, MCA, MIC, Parti Negara, PAS, Parti Buruh telah ikut serta dalam merebut 52 buah kerusi yang dipertandingkan. Bagi menunjukkan komitmen ke arah kemerdekaan sejagat, UMNO telah mengadakan kerjasama dengan MCA (yang ditubuhkan pada 27 Februari 1949) dan MIC (ditubuhkan pada Ogos 1946) membentuk Parti Perikatan untuk menghadapi pilihanraya tersebut.

Hasilnya mereka berjaya menguasai 51 kerusi daripada 52 kerusi yang dipertandingkan. Ia menjadi asas kepada persefahaman untuk memenuhi tuntutan Inggeris bahawa kemerdekaan boleh dicapai dengan adanya kerjasama dan saling bertolak ansur antara kaum di Tanah Melayu. Manifestasi Perikatan ialah menjanjikan kemerdekaan dalam masa empat tahun.

Pada 1Ogos 1955, Tunku Abdul Rahman membentuk Kabinet pertama yang dianggotai oleh 6 wakil Melayu, 3 wakil Cina dan 2 wakil India. Tunku Abdul Rahman selaku Ketua Menteri dan Menteri Hal-Ehwal Dalam Negeri. Antara barisan ahli yang lain ialah Datuk Abdul Razak Hussain, Dr. Ismail Datuk Abdul Rahman, En. H.S. Lee, En. Abd. Aziz Ishak, En. Baba Leong Yew Koh, En. Sardon Haji Jubir, Tun V.T. Sambathan, En. Sulaiman Datuk Abd. Rahman dan En. Bba Ong Yok Lin. Mereka mengangkat sumpah jawatan pada 9 Ogos 1955.

Selain memenuhi syarat persefahaman antara kaum, Tunku Abdul Rahman dicabar supaya menyelesaikan isu pemberontakan komunis untuk mendapatkan kemerdekaan. Inggeris berjanji selagi ancaman komunis tidak ditangani, kemerdekaan mungkin lewat diberikan. Bagi menyahut cabaran tersebut, Tunku memilih cara diplomasi dengan mengadakan Rundingan Baling pada 28-29 Disember 1956 bersama Chin Peng, Setiausaha Agung Parti Komunis Melaya (PKM). Tindakan tersebut telah mencemaskan Inggeris yang selama ini berhadapan dengan PKM secara kekerasan.

Kebimbangan Inggeris memberikan kesan mempercepatkan lagi proses pemberian kemerdekaan. Ia memperlihatkan kebijaksanaan siasah Tunku Abdul Rahman. Sementara di pihak PKM, mereka menolak dengan angkuh permintaan Tunku untuk membubarkan partinya malah terus memilih untuk meneruskan penentangan bersenjata yang ternyata telah banyak membawa kesengsaraan khususnya kepada penduduk luar Bandar dan menggugat keselamatan dan ekonomi negara.

Pada 18 Januari - 6 Februari 1956, Tunku Abdul Rahman mengetuai rombongan merundingkan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu.

Rombongan tersebut turut disertai oleh beberapa pemimpin Parti Perikatan; Dato' Abdul Razak Hussein, Dr. Ismail Abdul Rahman, Kolonel H.S. Lee, Tuan T.H. Tan dan Encik Bahaman Shamsudin dan wakil Raja-Raja Melayu; Dato' Panglima Bukit Gantang, Dato' Nik Ahmad Kamil, Encik Abdul Aziz Majid dan Dato Mohd. Seth. Pada 8 Februari 1956, Perjanjian Merdeka telah dimetrai dengan menetapkan tarikh 31 Ogos 1957 sebagai tarikh kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu. Sekembali dari London, Tunku Abdul Rahman telah membuat Pengisytiharan Kemerdekaan di Padang Pahlawan, Bandar Hilir, Melaka pada 20 Februari 1956 dan disambut dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan oleh seluruh rakyat.

Selaras dengan persediaan menyambut kelahiran sebuah negara yang baru merdeka, sebuah suruhanjaya bebas yang dikenali sebagai Suruhanjaya Perlembagaan Reid telah dibentuk pada 21 Mac 1956 untuk mengkaji dan menggubal Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu. Pada 12.00 tengah malam 30 Ogos 1957, bendera Union Jack diturunkan di depan Bangunan Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur lantas bendera Persekutuan Tanah Melayu mengambl alih dan terus berkibar megah.

Pada keesokan harinya, gema merdeka sebanyak tujuh kali memenuhi segenap pelosok Stadium Merdeka, Kuala Lumpur apabila upacara pengisytiharan kemerdekaan dibuat oleh Tunku Abdul Rahman. Hasil perjuangan seluruh orang Melayu dan gabungan beberapa kaum lain, akhirnya pada 31 Ogos 1957, Tanah Melayu berjaya merungkai rantai penjajahan yang sekian lama membelenggu peribuminya.

Tunku Abdul Rahman dalam satu ucapan beliau di depan Persatuan Wartawan Asing di sebuah hotel di Singapura pada 27 Mei 1961, menggagaskan penubuhan negara Malaysia yang terdiri daripada Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Brunei Sarawak, dan Sabah. Antara lain, ia bertujuan untuk menyekat pengaruh komunis, mengimbangi jumlah penduduk, meningkatkan kemajuan ekonomi dan mempercepat proses kemerdekaan terhadap Singapura, Brunei, Sarawak dan Sabah. Singapura menyambut baik idea tersebut manakala Brunei enggan menyertainya. Manakala Sarawak dan Sabah yang mulanya menolak cadangan tersebut akhirnya telah bersetuju apabila diberi jaminan mengenai pemerintahan sendiri.

Untuk memberikan kebebasan dan keadilan kepada semua pihak, pada 17 Januari 1962 sebuah suruhanjaya yang akan meninjau pandangan penduduk negeri-negeri tersebut telah diumumkan dan dikenali sebagai Suruhanjaya Cobbold. Suruhanjaya itu dianggotai oleh 5 orang ahli, dipengerusikan oleh Lord Cobbold dan dianggotai oleh dua wakil Kerajaan British, Sir Anthonv Abell dan Sir David Watherston, sementara wakil Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu pula terdiri dari Datuk Wong Pow Nee dan Encik Mohamed Ghazali Shafie. Mr. H. Harris bertindak selaku Setiausaha.

Sepanjang Februari-April 1962, Suruhanjaya ini telah menemui lebih 4000 orang dan menerima 2200 memorandum daripada pelbagai pihak yang terdiri daripada parti-pati politik, ahli-ahli mesyuarat kerajaan dan undangan, pembesar-pembesar, anak-anak negeri dan pemimpin kaum, majlis bandaran, pemimpin-pemimpin agama, kesatuan sekerja dan orang ramai yang memberikan pandangan. Secara keseluruhan, lebih lapan puluh peratus bersetuju dengan gagasan tersebut dan pada 21 Jun 1962, laporan tersebut telah diserahkan kepada kerajaan British.

Kata sepakat telah dicapai antara Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman dengan Harold Macmillan, Perdana Menteri British untuk mengadakan rundingan di London. Rundingan tersebut berlangsung selama 2 minggu. Pada 9 Julai 1963, satu perjanjian penting telah ditandatangani di Pejabat Perhubungan Komanwel di Malborough House, London. Perjanjian Penubuhan Persekutuan Malaysia ini telah ditandatangani oleh wakil-wakil Kerajaan British, Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura. Kerajaan British telah diwakili oleh Perdana Menteri Encik Harold Macmillan, Encik Ducan Sandys dan Lord Landsdowne.

Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu pula telah diwakili oleh Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Encik Tan Siew Sin, Datuk V.T. Sambanthan, Datuk Ong Yoke Lin dan Dr. Lim Swee Aun. Sabah pula telah diwakili oleh Datuk Mustapha bin Datuk Harun, Encik Donald A. Stephen, Encik W.K.H. Jones, Encik Khoo Siak Chiew, Encik W.S. Holley dan Encik G.D. Sundang. Wakil-wakil dari negeri Sarawak pula terdiri daripada Encik P.E.H. Pike, Temenggung Jugah, Datuk Bandar Abang Haji Mustapha, Encik Ling Beng Siew dan Datuk Abang Haji Openg. Sementara Singapura telah diwakili oleh Encik Lee Kuan Yew dan Encik Goh Keng Swee. Kedua-dua negara bersetuju mengeluarkan kenyataan bersama pada 12hb Julai 1963 iaitu Kerajaan British bersetuju menyerahkan kedaulatan Sabah, Sarawak dan Singapura kepada Kerajaan Malaysia dan Malaysia akan wujud pada 31hb Ogos, 1963.

Ketika ura-ura pembentukan Malaysia menjadi kenyataan, Filipina dan Indonesia menentang keras gagasan tersebut. Filipina mendakwa Sabah adalah sebahagian daripada wilayahnya manakala Indonesia yang mempunyai perancangan mewujudkan Indonesia Raya telah cuba menggagalkan usaha tersebut dengan lebih keras lagi dengan mengisytiharkan Konfrantasi pada 20 Januari 1963 dengan slogan ‘Ganyang Malaysia’. Tentera Indonesia dihantar menyusup sempadan Malaysia terutama di Sabah dan Sarawak serta Johor.

Cabaran getir yang dihadapi ini tidak mematahkan semangat pemimpin dan rakyat Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Sarawak dan Sabah untuk melihat satu negara bersatu. Walaupun perancangan sebenar pengisytiharan akan dibuat pada 31 Ogos 1963, majlis tersebut terpaksa ditangguhkan. Lawrance Michelmore selaku wakil Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sekali lagi mengadakan tinjuan pandangan penduduk Borneo Utara dan Sarawak. Pada 14 September 1963, laporan telah dikeluarkan yang mengesahkan majoroti penduduk negeri tersebut menyokong penyertaaan dalam Persekutuan Tanah Melayu. Justeru, pada 16 September 1963, gagasan tersebut telah menjadi kenyataan dan lahirlah sebuah kesatuan yang dikenali sebagai Malaysia.

Pengisytiharan tersebut dibuat di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur. Upacara membaca deklarasi penubuhan Malaysia itu telah dilakukan di hadapan Yang Di Pertuan Agong, Raja-Raja Melayu, Gabenor-Gabenor Pulau Pinang, Melaka, Singapura, dan Sabah. Turut serta dalam upacara itu ialah tiga orang pemimpin dari tiga buah negeri yang baru di dalam Persekutuan Malaysia iaitu En. Lee Kuan Yew, En. Donald Stephens dan En. Stephen Kalong Ningkan. Bagaimanapun, penyertaan Singapura hanya mampu bertahan selama dua tahun apabila terpaksa berpisah pada 1965...




INFO AKAN DITAMBAH.....

* Kawan saya seorang cikgu dan telah berlaku di sekolahnya, rakan seperguruannya sendiri telah lupa info-info penting mengenai kemerdekaan. Kemerdekaan ni memang sangat penting tetapi kita selalu juga terlupa termasuklah aku sendiri. Yang aku tahu, MENYAMBUT HARI KEMERDEKAAN itu mesti ada juga agenda bersama rakan-rakan..

*Kepada pembaca, maaflah jika terlalu merujuk bahan bulat-bulat kerana aku terlalu mengejar masa mahu 'publish' sementara ruang yang ada dihadapan ku tengah kosong...

APA YANG PENTING ANDA SEMPAT-SEMPATKANLAH DIRI UNTUK MEMBACA!INI MASIH TETAP SEBAGAI SATU ILMU...!

*Jom kita perbanyakkan mengimbas semula tentang kemerdekaan agar kita punya satu sejarah yang sama demi negara tercinta..


Rujukan : Malaysia merdeka


Sunday, August 4, 2013

Ramadhan Yang Mengubah Aku Menjadi Lebih Tabah

Benar kata orang, kalau kita tidak ditimpa musibah, kita akan lupa bahawa diri kita perlu diberi perhatian juga. Hakikatnya, baru kita sedari, diri kita kan berserah kepada Pencipta. Sebelum ini, mahu melangkah kemana pun jua, tetap gah dan tidak kurang dengan kegelojohannya. Ya, termasuk diri ku sendiri.

Apabila didatangkan sesuatu yang berbentuk musibah, maknanya Allah sedang mengajar sesuatu agar kita sedar akan sesuatu. Terutamanya dalam soal hidup yang melibatkan dua hati dan dua jiwa. Manusia itu diciptakan dengan masing-masing berpasangan.Bukan mudah untuk melupakan seseorang yang kita rapat atau percayai dan amat susah untuk membuang mereka.Semakin dibuang,semakin kerap ianya datang.

Ramadahan kali ini mengajar aku menjadi lebih tabah apabila aku terpaksa berhadapan dengan situasi yang aku tidak pernah cita-citakan. Jauh sama sekali mengimpikannya. Melibatkan hidup ku,hidup orang lain dan hidup orang yang aku percayai. Perasaan kecewa berkunjung tiba dan hampir-hampir membawa aku lupa sebenarnya ini adalah ujian Allah. Apabila datang kepahitan itu, aku perlu mencari kemanisan pula. Begitulah pesan ku kepada diri sendiri tatkala aku cuba membuka ruang fikiran yang sepatutnya aku gunakan. Berbekalkan ilmu yang sedikit cuma, aku bersyukur, diantaranya yang dapat aku gunakan adalah ilmu menjadi seseorang yang tabah. Tambahan pula, bulan datangnya ujian dunia ini pada bulan ramadhan. Masya Allah....Betapa sayangnya Allah kepada kita.

Apa yang berlaku itu, seawalnya sangat berat bagi ku, namun sangat ringan sekarang ini kerana ia hanya permainan dunia. Aku bukan mati dengan izin pelaku itu.Aku bukan meminta rezeki dari pelaku itu. Tetapi, aku masih ada Allah. Biarlah Allah sahaja yang membalas segala perancangan yang diatur oleh si pelaku itu. Bak pesan seorang guru'' yang maju akan memaafkan dan yang tidak ingin maju,sama sekali tidak pernah memohon maaf"..Memaafkan dan memohon maaf adalah dua perkara yang berbeza. Sangat mudah hidup kita tiada musuh jika berani memohon maaf dan manis rasanya jika dimaafkan.

Aku cuba meyakinkan diri sendiri, salah itu mungkin tidak bertempat tetapi salah itu menjadi penyebab. Penyebab yang sangat banyak..yang pelbagai. Penyebab kepada permusuhan, penyebab kepada kebencian, hilang percaya, hilang hormat.

Walaupun Allah mencipta manusia itu semua asalanya
duduk di dalam perut ibu, tetapi hati tetap berbeza.. Terima Kasih Ya Allah, Engkau menghantar dugaan dikala bulan mulia mu ini sedangkan banyak lagi masa-masa lain dan mudahan aku terus menerus tabah.

AAMIIN...